MELAKA – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Perikatan Nasional (PN) kini ketandusan modal berkempen apabila sanggup menekan rakyat dengan memainkan isu wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Anwar berkata, pihaknya sebelum ini bersetuju dengan langkah tersebut, namun cadangan itu tidak lagi rasional sebagai penyelesaian untuk meringankan bebanan rakyat.
“Itu (KWSP) duit rakyat dan (duit) rakyat dah tinggal sikit RM10,000, fahamlah sikit peranan kerajaan dan Perdana Menteri itu pulihkan ekonomi, tidak perlu menekan rakyat dari segi wang (KWSP) mereka bawa keluar mereka sampai tak ada (duit) dah.
“Dulu saya cadang (keluar KWSP) saya setuju di peringkat awal (tetapi) dah keluar dah banyak duit, sekarang tak ada modal (kempen) lain kah,” katanya ketika ditemui media pada program Santai Bersama Anak Muda di Bukit Beruang di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menyatakan kesediaannya untuk meneliti pengeluaran wang simpanan KWSP secara bersasar jika PN menang Pilihan Raya Umum Ke-15(PRU15).
Bagaimanapun menurut Pengerusi PN itu, pengeluaran terbabit tertakluk kepada jumlah baki simpanan pencarum.
Mengulas lanjut Presiden PKR itu berkata, sebaliknya penyelesaian lain yang boleh dilakukan adalah menghapuskan skandal-skandal yang merugikan negara demi memacu kembali ekonomi.
“Tender bocor berbilion (ringgit), kontrak-kontrak diberikan begitu banyak, itu mesti dihentikan dan boleh selamatkan berbilion-bilion ringgit,” katanya. – KOSMO! ONLINE