fbpx

PRU15: Orang Tebrau kena menangkan calon BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishammuddin bersama calon Parlimen Tebrau, Siaw Ting pada Program Jelajah Undi BN Johor di Felda Ulu Tebrau.

JOHOR BAHRU – Pengundi Melayu di kawasan Parlimen Tebrau perlu bersama jentera parti bagi memenangkan calon bukan Melayu yang menjadi sandaran parti.

Ketua UMNO Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mereka perlu mencontohi pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang dan Paloh di Parlimen Sembrong yang memberi sokongan tak berbelah bagi kepada calon MCA dan MIC yang bertanding.

Beliau yang merupakan calon yang menyandang kerusi Sembrong berkata, demografik di Parlimen Sembrong tidak jauh bezanya dengan Parlimen Tebrau dan wajar dijadikan contoh.

“Jika kita lihat di Kahang, 87 peratus adalah Melayu namun calon yang diletakkan adalah dari parti MIC, begitu juga di Paloh yang mempertaruhkan calon dari MCA walaupun majoritinya adalah pengundi Melayu.

“Namun begitu, jentera parti tetap berusaha keras memenangkan calon tersebut, kedua-dua calon di DUN Kahang dan Paloh menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.

“Jadi, apa yang sepatutnya dilakukan pengundi di Tebrau tidak ada bezanya dengan Parlimen Sembrong, misinya adalah membantu calon parti menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Undi BN Johor, di sini hari ini.

Turut hadir ialah calon BN di Parlimen Tebrau, Datuk Nicole Wong Siaw Ting.

Siaw Ting akan berdepan cabaran tiga penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan dari PKR, Jimmy Puah Wee Tse dan calon Perikatan Nasional, Mohamed Isa Mohamad Basir.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Menteri Kanan Pertahanan berkata, dalam politik BN, parti hanya boleh mengecapi formula terbaik apabila semua parti ada rasa tak puas hati.

“Arwah ayah saya cerita, kita hanya boleh capai formula terbaik bila semua tak puas hati, bila MCA, MIC dan UMNO tak puas hati, maknanya tepat lah formula.

“Ini kerana nak mentadbir dan memimpin negara yang majmuk dan berbilang kaum dan agama, tidak mungkin boleh memuaskan hati semua,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI