MELAKA – Kubu kuat DAP di Parlimen Kota Melaka bakal tumbang kali kedua selepas Barisan Nasional (BN) menawan kerusi itu pada 2004 dan ia mungkin berulang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Kali ini calon Melayu, Suhaime Borhan, 43, yang diketengahkan Parti Gerakan Rakyat Malaysia
(Gerakan) mewakili Perikatan Nasional (PN) bertanding buat pertama kali dalam sejarah dilihat mampu melakar kejutan menewaskan penyandang kerusi, Khoo Poay Tiong.
Pengerusi Gerakan Melaka, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam berkata, beliau tidak sangsi dengan keupayaan Suhaime membuat kejutan walaupun pada tradisinya hanya calon Cina bertanding di Kota Melaka.
“Saya harap Suhaime dapat memecah rekod dan mencipta sejarah sebagai orang Melayu pertama dalam politik Malaysia menang di kerusi Parlimen Kota Melaka yang majoritinya ramai pengundi Cina dan merupakan kubu kuat DAP.
“Mungkin kalangan parti politik tidak percaya dengan keputusan Gerakan meletakkan calon Melayu kerana secara tradisinya sejak dahulu, kawasan ini ditandingi calon bangsa Cina dan persaingan antara DAP dan BN,” katanya pada sidang akhbar di pejabat parti itu di Melaka Raya, Banda Hilir di sini, semalam.-KOSMO! ONLINE