KANGAR – Calon wanita dalam tempoh idah kerana kematian suami tidak boleh keluar bertemu orang ramai untuk berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, calon tersebut tidak boleh keluar dari ‘bait al-zaujiyyah’ atau rumah didiaminya sepanjang kehidupannya bersama arwah suami.
Katanya, jika tiada rumah perkahwinan, rumah berkenaan turut merujuk kepada rumah didiami sepanjang tempoh iddah.
“Keluar untuk kempen pilihan raya bukan keperluan hidup yang mana jika dia tidak keluar maka hidupnya terjejas.
“Selain hidup seseorang tidak bergantung kepada hal itu kerana jika dia tidak menyertai kempen pilihan raya pun tidak menjejaskan keperluan asas hidupnya.
“Orang lain juga tidak mendapat kesusahan kerana ketidakhadiran beliau berkempen,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, timbul persoalan bagaimana Datuk Zahida Zarik Khan yang merupakan calon Barisan Nasional Parlimen Padang Besar akan berkempen susulan beliau masih dalam tempoh idah selepas kematian suami pada Ogos lalu.
Zahida menerusi satu video di Facebook rasminya baru-baru ini akur dengan perintah syarak dan akan membataskan pergerakan ketika berkempen.
Katanya, wanita yang kematian suami wajib berada dalam iddah selama empat bulan 10 hari dan ia merupakan perintah al-Quran dan al-Sunnah.
“Tempoh itu boleh disingkatkan jika wanita itu mengandung dan melahirkan anak sebelum tempoh iddah berakhir,” ujarnya.
Namun begitu, kata beliau, calon wanita dalam idah boleh berkempen di rumahnya, sama ada melalui orang yang hadir atau melalui media baharu dengan pelbagai teknologi. – KOSMO! ONLINE