PADANG BESAR – Kira-kira 1,000 jentera Barisan Nasional (BN) digerakkan untuk membantu kempen calon Parlimen Padang Besar, Datuk Zahida Zarik Khan.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Azizan Sulaiman berkata, aktiviti kempen sudah bermula dengan jentera telah mengedarkan risalah dan memasang poster calon di seluruh kawasan Parlimen.
“Jentera kini aktif membantu kempen calon Parlimen dengan bertemu seluruh pengundi termasuk di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Titi Tinggi, Beseri, Mata Ayer, Chuping dan Santan,” katanya ketika ditemui di Padang Pauh dekat sini semalam.
Kosmo! Online pada kelmarin melaporkan Zahida memberitahu beliau terpaksa membataskan pergerakan ketika berkempen kerana dalam tempoh iddah selepas kematian suami pada 20 Ogos lalu.
Kata Azizan, penerimaan pengundi Parlimen itu semakin baik ketika ini.
“Pada awalnya mungkin ramai yang rasa kurang senang apabila calon lain diletakkan di Parlimen berbanding penyandang, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
“Namun, selepas kita turun bertemu pengundi dan menerangkan tentang perkara itu, ramai yang sudah menerima calon muda kita,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE