SHAH ALAM – Penduduk Taman Mantap, Seksyen 25 di sini kecewa apabila ahli politik yang dipertanggungjawab di sini melarikan diri bertanding ke lokasi lain dengan meninggalkan mereka tanpa solusi terbaik mengatasi banjir.
Lebih menambah derita, penyelesaian yang diberikan sekadar meninggalkan janji kosong termasuk pembinaan ‘floor wall’ bagi mengatasi aliran air dari Sungai di Sri Muda memasuki kawasan perumahan mereka.
Biro Penerangan Jawatankuasa Penduduk Taman Mantap, Asmawi Zakaria,49, berkata, sepatutnya sebagai ahli berhormat mereka menjaga kebajikan dan bukannya memberikan janji tanpa dilaksanakan sewajarnya.
Katanya, solusi dinding konkrit tersebut telah diberikan semasa perbincangan pada bulan Mei lalu namun tidak dibuat sehingga kini.
“Mereka ini disifatkan sebagai bacul dan pengecut kerana masalah rakyat belum selesai. Ini bererti mereka lari tanpa menyelesaikan kerja yang masih tertangguh.
“Penduduk amat kecewa dan berhasrat bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada kali ini bagi membela nasib mereka,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Untuk rekod, Taman Mantap berada dalam ‘jajahan’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) V. Ganabatirau yang kini bertanding Parlimen Klang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jelas Asmawi, sebanyak 15 kali banjir telah berlaku bermula 2010 sebelum kemuncaknya pada Disember tahun lalu dan diikuti tujuh lagi banjir pada tahun ini.
“Banjir sebelum ini menyebabkan 75 buah rumah masing-masing kerugian antara RM60,000 hingga RM70,000. Sekarang sudah memasuki monsun (Timur Laut) dan ramai risau dengan tiada solusi terbaik daripada pihak berwajib,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE