fbpx

Pencipta kandungan sebahagian ekosistem dunia hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GEMPAK Most Wanted mula bersiaran sejak 28 Oktober lalu menerusi saluran Astro Ria (104).

CAKNA dengan kandungan media sosial (content creation) segelintir pihak yang adakalanya tidak bermanfaat atau berkualiti, namun pada masa sama, ada juga yang memberi inspirasi kepada orang ramai.

Perihal tersebut diakui Ketua Content Studio Astro, Syazwan Zakariah yang turut bersetuju bahawa dunia sekarang sudah berubah ke arah banyak perkara berkiblatkan digital.

“Mahu atau tidak, harus diakui, pencipta kandungan (content creators) ada yang positif dan negatif.

“Satu perkara yang tidak boleh dinafikan, mereka sangat ‘rapat’ dengan kita. Setiap hari kita main telefon dan tengok, semuanya ada di hujung jari.

“Jadi, saya rasa tidak salah untuk mengiktiraf golongan ini kerana mereka adalah sebahagian ekosistem dunia hiburan sekarang,” katanya pada sidang media Gempak Most Wanted Award 2022, baru-baru ini.

Sohor kini

Gempak Most Wanted (GMW) merupakan program televisyen serta acara anugerah yang penyertaannya terbuka untuk semua platform atau OTT (over-the-top media), bukan hanya kandungan atau personaliti dari Astro semata-mata.

Menurut Syazwan lagi, GMW akan membuka semua penyertaan tidak kira dari stesen televisyen pesaing asalkan merupakan kandungan yang sohor kini dan viral.

“GMW satu program berkonsep ‘chart show’ yang unik dan menyeronokkan. Sesiapa sahaja penonton atau netizen boleh hantar pencalonan yang dirasakan layak kerana trending.

SYAZWAN Zakariah melihat pencipta kandungan pada masa kini sudah menjadi sebahagian daripada ekosistem dunia hiburan. Foto – ASTRO

“Tidak kira kandungan tersebut dari mana-mana platform termasuk pesaing Astro sekalipun. Sebagai contoh, drama kami terbuka bukan untuk tayangan Astro sahaja, malah mana-mana naskhah yang sedang trending dari platform atau stesen televisyen lain seperti Media Prima atau Viu.

“Malah, kami tidak akan berat sebelah kerana akan ada panel dari luar dijemput bagi menilai kandungan mana yang layak dipilih dan diangkat pada acara anugerah nanti,” katanya.

Tapisan

Sungguhpun begitu, Syazwan memberitahu akan ada tapisan terhadap kandungan atau kandungan yang bertanding.

Hal ini supaya GMW dapat mengangkat sesuatu yang mampu memberi inspirasi baik dan positif buat masyarakat serta penonton khususnya.

“Meskipun terbuka kepada semua untuk mencalonkan sesiapa yang mereka mahu, namun tetap akan ada panel yang menapis setiap kandungan terutama digital.

“Kami akan memilih personaliti atau selebriti digital yang memberi kesan yang baik kepada masyarakat dan penonton.

“Saya faham, ada yang membuat kandungan demi meraih publisiti murahan atau keburukan tetapi kami akan memilih mereka yang boleh memberi inspirasi kepada masyarakat dan penonton,” ulasnya lagi.

DUA pelakon popular, Amelia Henderson (kanan) dan Sean Lee diberi kepercayaan menjadi hos bagi rancangan Gempak Most Wanted.

Dengan konsep yang vibrant dan trendy, rancangan tersebut menampilkan Amelia Henderson serta Sean Lee sebagai hos.

GMW ditayangkan pada setiap hari Rabu bermula 28 September lalu pukul 9 malam secara eksklusif menerusi Astro Ria (saluran 104).

Sementara bagi anugerah pula, terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan warganegara asing yang menetap di negara ini.

Personaliti dan kandungan yang ingin dicalonkan mestilah dihasilkan antara tarikh 12 Oktober 2021 sehingga 12 November 2022.

Netizen boleh mencalonkan personaliti dan kandungan kegemaran mereka bagi setiap kategori yang dipertandingkan bermula 12 Oktober sehingga 12 November ini.

Untuk menghantar pencalonan serta info lebih lanjut mengenai terma dan syarat boleh layari gempak.com/gempakmostwanted.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI