JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang wanita berkongsi kisah cintanya dengan lelaki berusia 20 tahun lebih tua sehinggakan mereka disalah anggap sebagai pasangan bapa dan anak, lapor portal berita Wolipop.
Video itu dimuat naik dalam akaun TikTok @afrinfajrina.
Wanita bernama Arin itu berkongsi beberapa gambar mengenai kehidupan dia bersama suaminya yang bermula daripada foto kad perkahwinan dan majlis akad nikah.
Arin berkata, dia lahir pada 1996 sedangkan suaminya dilahirkan dalam tahun 1976. Dia berasal dari Bandung, manakala suaminya pula dari Purbalingga.
Netizen tidak mempercayai hubungan mereka kerana perbezaan usia yang agak jauh.
“Tiada masalah jika beza umur, saya sendiri dan suami beza 14 tahun. Alhamdulillah sudah 15 tahun kami berkahwin dan mendapat tiga anak,” kata seorang netizen.
“Ya jodoh tidak mengenal usia…asalkan tidak mengambil hak orang lain,” kata seorang lagi netizen.
Menerusi ruangan komen, Arin memberitahu bahawa dia berjaya mendapatkan persetujuan ibu bapa untuk berkahwin dengan suaminya walaupun usia lelaki itu jauh lebih tua.
Arin turut memaklumkan bahawa dia tidak kisah mengenai perbezaan usia dengan suaminya dan mereka bernikah semasa lelaki itu masih bujang. – Agensi