SELEBRITI terkenal Selena Gomez berkongsi rasa sedih apabila disahkan bakal berdepan risiko sukar untuk memiliki cahaya mata kesan pengambilan ubat bipolar.
Menerusi wawancara bersama Rolling Stone, penyanyi dan juga pelakon berusia 30 tahun itu berkata, setelah dua tahun mengambil ubat tersebut, doktor memberi amaran bahawa dia bakal berdepan kesukaran untuk hamil.
“Saya telah mengambil ubat bipolar kerana mengalami gangguan mental sejak 2020. Selepas dua tahun, saya masih bergantung dengan ubat tersebut.
“Kesannya, doktor memberi amaran bahawa saya berkemungkinan besar akan mengalami masalah kesukaran untuk hamil,” katanya.
Menyedihkan, namun bekas kekasih Justin Bieber itu tetap tidak patah semangat dan akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan peluangnya menjadi seorang ibu terus terbuka.
“Saya tidak akan patah semangat. Dunia semakin moden. Pasti akan ada kaedah lain untuk saya memiliki cahaya mata nanti,” katanya.