PETALING JAYA – Tiga beradik dan sekumpulan pemuda leka berborak tentang konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza, sehingga terlupa terlibat dalam kemalangan.
Video yang dimuatnaik oleh @syahidamarzuki di akaun media sosialnya kelihatan si kakak bercerita tentang pengalamannya dapat memeluk Siti Nurhaliza dan menunjukkan gambar tersebut kepada sekumpulan lelaki yang melanggar keretanya.
“Inilah cara kami rakyat Malaysia mengawal situasi kemalangan. Kami baru sahaja balik dari konsert Siti Nurhaliza, dan ini yang terjadi,” tulis @syahidamarzuki.
Bukan itu sahaja, tiga orang pemuda itu turut mempromosikan pakaian yang dijual mereka dan mengambil swafoto bersama si kakak sebelum beredar dari tempat kejadian tanpa sebarang pergaduhan.
Sehingga kini, video berdurasi 40 saat tersebut telah mendapat tontonan sehingga 291,100, 19,100 tanda suka dan 199 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! diruangan komen mendapati ramai yang terharu dan memuji sikap mereka yang bersikap tenang walaupun selepas terlibat dalam kemalangan.
“Beginilah cara yang betul, sekurang-kurangnya kurang tekanan. Syabas,” kata @noamnotharrypotter
Sementara itu, ada juga komen mengatakan bahawa Siti Nurhaliza dianggap ‘ibu perpaduan’ kerana menghubungkan masyarakat Malaysia yang majoriti mengenalinya.
“Sebut je nama Siti Nurhaliza, semua masalah selesai,” kata @missbuddelf. – KOSMO! ONLINE