PETALING JAYA – Barisan Nasional (BN) menggariskan beberapa tawaran untuk memastikan amalan politik di negara ini berjalan dengan cara yang bertanggungjawab dan telus.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia termasuk melalui penggubalan Akta Pendanaan Politik dan pelantikan jawatan utama negara melalui saringan jawatankuasa khas Parlimen.
Jelas beliau, jawatan utama negara itu antaranya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Melalui wakil mereka (rakyat) di Parlimen, rakyat akan diberi mandat untuk meneliti dan terlibat dalam tapisan pelantikan jawatan awam terpenting di negara ini,” katanya pada Pelancaran Perancangan Amal dan Usaha (PADU) BN yang disiarkan secara dalam talian malam ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN menawarkan beberapa langkah demi masa depan Malaysia lestari dan selamat.
Menurut beliau, ia termasuk berusaha menambah litupan kawasan berhutan negara kepada 60 peratus keluasan dengan kerjasama kerajaan negeri.
Tambahnya, BN akan turut menghapuskan permit import atau AP semua jenis kereta elektrik bagi memastikan akses yang lebih luas kepada kereta mesra alam mampu milik.
“Saya jemput semua untuk meneliti pelan amal dan usaha kami. Lihat dengan berlapang dada bagaimana semua itu akan mengubah negara dan masa depan kita.
“Saya akui, ini bukan pelan yang sempurna. Tapi saya dan seluruh pasukan BN percaya, ia mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE