fbpx

Konsert Legenda, perjuangan tanpa henti irama nasyid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONSERT Legenda yang berlangsung minggu lalu cukup menggamit kenangan peminat nasyid apabila membariskan nama besar dalam arena nasyid negara.

LAGU-LAGU mereka seperti roh yang meresap ke jiwa setiap pendengar. Demikian antara gambaran mengingati semula momen persembahan Konsert Nasyid Legenda yang berlangsung penuh gemilang di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya pada 29 Oktober lalu.

Sekitar pukul 9 malam, persembahan dimulakan dengan alunan Asmaul Husna dan doa bagi memberkati perjalanan acara yang berlangsung selama dua jam tersebut.

Membuka tirai persembahan, tiga penyanyi hebat, Ustaz Akhil Hayy, kumpulan Inteam dan Shahir Zawawi muncul dalam segmen pertama iaitu tribute kepada penghibur nasyid era 1970-an.

Memukau ramai dengan lontaran vokal hebat, mereka mendendangkan lagu-lagu popular seperti Solatullah, Kembara Di Tanah Gersang, Seroja dan Selimut Putih.

Kebanyakan lagu tersebut sudah berusia lebih 40 tahun, namun masih segar dalam ingatan peminat dan penonton yang hadir.

PERSEMBAHAN lagu-lagu Nada Murni seperti Buta Mata oleh Inteam bersama Akhil Hayy benar-benar mengundang sebak sehingga ada penonton menitiskan air mata.

Usai membawa penonton mengembara ke zaman lalu, kemunculan Nazrey Johani, kumpulan Hijjaz dan Rabbani membuatkan dewan bergema dengan sorakan ramai.

Kemunculan otai-otai nasyid itu pada segmen kedua sekali lagi mengusik memori penonton menerusi lagu-lagu dendangan kumpulan Nada Murni dan The Zikr yang popular sekitar era 1980-an.

Antara lagu yang membuatkan ada dalam kalangan penonton menitiskan air mata adalah Pahlawan Agama, Rindu dan Harapan padaMu Subur Kembali.

“Kami mahu terus mendidik jiwa masyarakat menerusi seni hiburan.

“Semoga nasyid tidak terkubur dan terus bersinar dalam persada seni tanah air,” tutur Munif usai persembahannya.

Memasuki segmen ketiga, seluruh dewan seperti diselubungi sebak tatkala klip video memaparkan wajah penyanyi ternama irama nasyid, Allahyarham Ustaz Asri yang merupakan vokalis kumpulan Rabbani mula dimainkan di skrin pentas.

Mengisi segmen tribute tersebut, beberapa buah lagu nyanyian asal Allahyarham iaitu Munajat, Mana Milik Kita dan Handzalah memecah emosi ramai.

Kesemua lagu tersebut didendangkan tiga penyanyi nasyid generasi baharu, Hasnul Jamal dan Maliq Suhaimi serta anak kandung Ustaz Asri sendiri, Ilham Fikri.

NAZREY Johani bersama kumpulan Rabbani dan Hijjaz mengimbau kenangan zaman 1980-an dengan lagu-lagu dendangan Nada Murni dan The Zikr.

Kegemilangan konsert seterusnya berterusan ke segmen keempat dengan dendangan lagu-lagu medley nasyid kontemporari yang sehingga hari ini masih menjadi siulan ramai.

Dewan kembali meriah dengan persembahan hebat Rabbani menerusi lagu popular mereka, Pergi Tak Kembali yang mengingatkan tentang kematian dan alam abadi.

Momentum disambung dengan duet Hijjaz bersama Shahir menerusi lagu Fatamorgana yang turut ditemani gemerlapan lampu flashlight daripada para penonton.

Kemeriahan tidak terhenti dan diteruskan dengan lagu popular milik kumpulan Brothers, Teman Sejati yang dinyanyikan Inteam bersama Nazrey.

Persembahan turut dihangatkan dengan kehadiran dua anggota Brothers iaitu Syah Rizal dan Abdullah Faiz Mohamad.

Mengakhiri persembahan, Nazrey meraih sorakan hebat apabila menyanyikan lagu popularnya bersama Raihan iaitu Puji-Pujian bersama anggota Inteam.

“Alhamdulillah terima kasih kepada semua kerana sudi bersama memeriahkan konsert yang julung-julung kali diadakan ini.

“Bangkit dan bangunlah pejuang irama nasyid. Hidangkan hiburan islamik kepada semua,” lontar Syahril yang merupakan salah seorang anggota Inteam.

Sebelum menutup pentas sekitar pukul 11.15 malam, barisan penyanyi mengalunkan doa taubat.

Konsert jelajah

Meraih permintaan tinggi dalam kalangan peminat nasyid, wakil penganjur Inteam Records, Hazamin Harun memberitahu, pihaknya tidak keberatan untuk melebarkan sayap konsert tersebut ke seluruh negara.

Hazamin juga terbuka menerima sebarang penajaan untuk penganjuran konsert tersebut di lokasi lain.

PENGANJURAN Konsert Nasyid Legenda membuktikan irama nasyid masih kekal relevan sehingga ke hari ini.

“Memang ramai yang menyuarakan pandangan agar konsert ini diteruskan ke lokasi lain.

“Kami teruja dengan pandangan sebegitu, sekali gus membuktikan nasyid tidak pernah tenggelam dan kekal sebagai karya seni disegani ramai.

“Sekiranya ada pihak yang ingin menaja untuk acara akan datang, kami berlapang dada,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI