fbpx

Khasiat madu kelulut jadi punca rezeki Rosmalili

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERA – Bermula sekadar minat untuk mendapatkan madu dan merawat anak yang menghidap penyakit kulit, seorang wanita tidak menyangka dia kini menjadi usahawan madu kelulut berjaya.

Rosmalili Ramli berkata, dia mula berkecimpung dalam bidang tersebut selepas melihat madu kelulut dapat membantu merawat penyakit anak-anaknya masing-masing menghidap penyakit kulit dan asma.

Sebelum ini, pelbagai produk telah dicuba untuk merawat penyakit anak keduanya tetapi tidak berhasil sehinggalah dia berikhtiar menggunakan madu kelulut.

“Selepas menggunakan produk bee pollen dan madu kelulut, kulit anak semakin sihat dan baik.

Dalam masa yang sama, anak pertamanya turut menghadapi masalah asma dan setiap bulan terpaksa berulang-alik ke Klinik Kesihatan (KK).

“Selepas mengamalkan madu kelulut setiap pagi dan kini anak saya yang sudah berumur 10 tahun, kini semakin sihat serta tidak perlu lagi berulang-alik ke klinik,” katanya kepada Kosmo!.

Rosmalili, 34, yang menetap di Kampung Bukit Serdang, Kuala Bera di sini berkata, susulan perubahan positif pada anaknya, dia nekad untuk membuat pinjaman dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada tahun 2018.

Jelasnya, dengan pinjaman sebanyak RM3,000 ketika itu, dia telah membeli 10 lagi sarang kelulut dan kini selepas beberapa kali membuat pinjaman dengan AIM jumlahnya bertambah lebih 100 sarang.

“Alhamdulillah, madu kelulut yang diusahakan mendapat sambutan orang ramai sehingga tidak menang tangan kerana ramai yang tahu tentang khasiatnya.

“Suami saya, Azman Shah Musa, 39, yang bekerja sendiri turut membantu, selain dibantu dua penduduk yang bekerja secara sambilan terutamanya ketika musim kelulut banyak mengeluarkan madu,” katanya.

Mengulas lanjut, Rosmalili turut menggalakkan penduduk kampung yang berminat untuk menternak kelulut dengan konsep satu rumah satu sarang kelulut.

Katanya, selain menternak kelulut di kawasan kediaman masing-masing untuk keperluan sendiri, mereka juga boleh menjual madu tersebut.

Beliau menambah, syarikat kini mempunyai sebuah bengkel di Balai Raya Bukit Serdang di sini khusus untuk menjalankan kerja-kerja memproses hasil madu sebelum di jual di pasaran semasa.

Menurut Rosmalili, cabaran utama menternak kelulut adalah pada musim hujan yang mana hasil madunya amat kurang.

Namun, peluang yang diberi oleh AIM akan digunakan sebaiknya untuk membesarkan lagi perusahaan dengan memasarkan produk melalui media sosial, menyertai ekspo dan pameran.

Pada masa sama, Rosmalili mahu membuka peluang bagi sesiapa yang berminat ingin menjadi ejen.

Ujar beliau, kepada yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi Rosmalili di talian 017 968 5737 atau boleh melayari Facebook Jabooq Honey dan Instagram Jabooq.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI