MELAKA – Jeritan meminta tolong oleh seorang wanita Rohingya berjaya menyelamatkan tiga anaknya daripada rentung selepas rumah yang mereka diami terbakar dalam kejadian di Kampung Pengkalan Rama Pantai di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu turut menyebabkan dua buah rumah bersebelahan terbakar dengan salah sebuah daripadanya hangus 80 peratus.
Menurut salah seorang saksi, Eric Wong, 27, dia yang ketika itu sedang tidur terkejut apabila neneknya menjerit memberitahu ada asap tebal keluar daripada bumbung rumah jiran mereka.
“Selepas itu saya terdengar suara perempuan menjerit meminta tolong dan keadaan ketika itu sangat kelam-kabut.
“Kebakaran itu turut merebak ke bahagian dinding atas rumah kami tetapi saya berjaya memadamkannya selepas berulang-alik membawa air menggunakan baldi,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Wong, wanita Rohingya itu bagaimanapun berjaya keluar bersama-sama tiga anaknya yang berusia dalam lingkungan tiga hingga empat tahun.
“Saya kemudian menghubungi bomba tetapi api yang marak terus merebak ke rumah sebelah kiri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Timbalan Penguasa Bomba II Yazid Mohd. Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.08 pagi.
Katanya, dua buah jentera masing-masing dari BBP Melaka Tengah dan Padang Temu telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi, kita dapati dua buah rumah telah terbakar sebanyak 80 peratus, manakala sebuah lagi 10 peratus.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak kira-kira 20 minit kemudian,” katanya.
Tambahnya, kebakaran itu turut memusnahkan tiga buah motosikal dan tiga lagi kenderaan mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus.