SHAH ALAM – Komplot penyelewengan diesel subsidi dipercayai melibatkan stesen minyak terbongkar menerusi serbuan di sebuah stor sekitar Rawang dekat sini, baru-baru.
Ini susulan operasi hendap dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor bermula pukul 9 malam, Selasa lalu.
Hasilnya berjaya menyita dua buah lori dan minyak tangki berjumlah 830.3 liter dengan nilai keseluruhan rampasan RM300,000 selain menahan dua lelaki tempatan berusia 35 dan 40 tahun.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, operasi hendap dilakukan selama 24 jam itu susulan aduan berhubung aktiviti pergerakan kenderaan jenis lori membuat pengisian minyak diesel secara berulang di stesen minyak.
Katanya, tindakan serbuan hendap oleh pasukan operasi dilakukan semasa aktiviti pengisian minyak diesel sedang dilakukan oleh pemandu lori di sebuah
stesen minyak di Rawang.
“Siasatan mendapati modus operandi aktiviti ini adalah membuat pengisian di stesen minyak antara enam hingga 10 kali sehari untuk dihantar ke stor haram berhampiran.
“Berdasarkan situasi ini, dipercayai terdapat aktiviti urus niaga jual beli di antara stesen minyak yang berdekatan dengan stor tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Mohd. Zuhairi memberitahu, pihaknya telah membuat pemeriksaan lanjut terhadap stesen minyak berhubung pembelian minyak diesel yang
mencurigakan itu.
Tambah beliau, arahan Pengisytiharan Stok dan Mengemukakan Maklumat/Dokumen di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 telah dikeluarkan kepada stesen minyak berkenaan.
“Kita telah merakam keterangan pengurus stesen minyak tersebut untuk tujuan siasatan.
“Dua lelaki tempatan yang ditahan yang merupakan pemandu lori kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis. Kes disiasat mengikut AKB 1961,” tegasnya. – KOSMO!ONLINE