fbpx

Indonesia nikmati ‘pecutan’ ekonomi pada suku ketiga 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pekerja menimbang buah kelapa sawit di sebuah ladang di Kutamakmur, wilayah Aceh pada 12 Mei lalu. - AFP

JAKARTA – Pertumbuhan ekonomi Indonesia memecut pada suku ketiga 2022, dipacu oleh eksport  dan penggunaan domestik yang kukuh, demikian menurut data rasmi hari ini, namun kemajuan tersebut masih di bawah paras unjuran.

Ia merupakan peningkatan terbesar untuk Indonesia yang juga ekonomi terbesar Asia Tenggara dalam tempoh lebih setahun. Ekonomi negara itu menokok daripada 5.44 peratus dalam suku kedua kepada 5.72 peratus antara Julai hingga September tahun ini, kata Agensi Statistik Pusat.

Angka tersebut merupakan  prestasi lebih baik berbanding tempoh sama tahun lalu apabila Jakarta mengetatkan sekatan susulan ledakan kes Covid-19, berpunca daripada penularan varian Delta.

Indonesia juga menikmati kestabilan ekonomi terhad disebabkan lonjakan harga komoditi selepas pencerobohan Russia ke atas Ukraine Februari lalu. Negara kepulauan itu merupakan pengeksport utama arang batu, petroleum, emas, nikel dan minyak kelapa sawit di samping sebilangan komoditi lain

“Sejak suku keempat 2021, ekonomi kita tumbuh secara konsisten pada kadar lebih lima peratus. Ini menunjukkan pemulihan ekonomi Indonesia adalah berterusan dan semakin kukuh,” kata ketua agensi berkenaan, Margo Yuwono.

Sektor eksport  yang merangkumi 25 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) Indonesia, berkembang 21.64 peratus dalam suku ketiga tahun ini, meningkat daripada 19.74 peratus berbanding suku sebelumnya. 

Walaupun eksport Indonesia mencatat lonjakan pada tahun ini di samping pemansuhan sekatan Covid-19 dan ketibaan semula pelancong luar, perang Ukraine serta impak pasca pandemik mencetuskan kebimbangan bahawa kemelesetan ekonomi dunia akan berlaku. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI