PETALING JAYA – Penduduk di Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh yang akan berlaku esok.
Menurut Agensi Angkasa, fenomena tersebut dapat dilihat apabila bulan mulai terbit di ufuk timur ketika ia mula mengalami fasa gerhana penuh bagi penduduk di Sabah dan Sarawak.
Katanya, bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung pula fenomena tersebut hanya mula kelihatan ketika fasa gerhana maksimum sehingga fasa gerhana penumbra berakhir pada puku 9.56 malam.
“Fenomena gerhana bulan penuh esok akan berlaku 5.8 hari sebelum Bulan berada pada kedudukan yang paling jauh dengan Bumi (apogee) iaitu pada jarak 404,923 kilometer (km).
“Fenomena ini dapat dilihat secara keseluruhan di Asia, Australia, Amerika Utara dan Selatan serta sebahagian utara dan timur Eropah,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.
Katanya, gerhana bulan penuh ini merupakan central lunar eclipse, iaitu gerhana bulan yang berlaku apabila cakera Bulan melalui paksi bayang umbra Bumi yang berada di tengah-tengah bayang umbra Bumi.
“Central lunar eclipse merupakan gerhana penuh yang mempunyai nilai magnitud umbra yang tinggi, tempoh yang panjang dan nilai gamma yang rendah.
“Magnitud umbra pada kali ini ialah 1.3607 dan nilai Gamma adalah 0.2570 dengan tempoh gerhana penuh maksimum adalah selama 85.7 minit,” katanya.
Di Malaysia katanya, fenomena gerhana bulan penuh ini berlaku bermula pukul 4.02 petang dan berakhir pada pukul 9.56 malam waktu tempatan.
“Fenomena tersebut tidak dapat dilihat di Malaysia pada permulaan fasa gerhana penumbra dan separa kerana ia berlaku apabila Bulan berada di bawah ufuk.
“Oleh itu, pemerhati dinasihatkan untuk berada di kawasan yang tidak mempunyai halangan di arah timur seperti kawasan yang tinggi ataupun pantai yang menghadap ke arah timur supaya dapat menyaksikan gerhana tersebut seawal mungkin,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE