PETALING JAYA – Nyaris tersingkir pada konsert minggu kelapan Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) berikutan kedudukan tercorot, penyanyi Dina Nadzir mengakui perasaan gemuruh menjejaskan persembahannya.
Katanya, dia akur dengan komen diberikan juri tetap, Datuk Ramli MS, namun percaya kelemahan ketika beraksi secara langsung perlu diperbaiki bagi mengelakkan perkara sama berulang.
“Saya mempunyai masalah darah gemuruh ketika mengadakan persembahan secara langsung di hadapan penonton. Disebabkan kelemahan ini banyak benda yang boleh menjadi silap.
“Peliknya, ketika latihan saya boleh memberikan konsentrasi penuh tetapi senario berbeza berlaku semasa konsert secara langsung,” katanya.
Jelas Dina lagi, dia banyak berfikir ketika berada di atas pentas terutama apabila memikirkan tentang penerimaan penonton selain berdepan isu teknikal membabitkan muzik.
“Bagaimanapun saya akur dengan komen juri kerana ini kesilapan sendiri. Apabila diberikan kembali peluang untuk bertarung pada minggu seterusnya, saya akan tonjolkan yang terbaik,” katanya.
Dina atau nama lengkapnya Faradina Mohd. Nadzir berkata demikian ketika ditemui sewaktu sidang media usai konsert GV minggu kelapan di Auditorium MBSA, Shah Alam, malam tadi.
Sementara itu, Dina turut mengakui dia mengalami kesan sampingan selepas terkena jangkitan Covid-19 baru-baru ini.
Bagaimanapun, dia enggan menjadikan perkara tersebut sebagai alasan prestasinya menurun.
“Saya tidak pernah cerita mengenai keadaanselepas terkena Covid-19 tetapi Tok Nas (Datuk Shafinaz) yang membuka mulut.
“Saya tidak mahu perkara itu menjadi alasan walaupun suara saya malam tadi mula kering,” kata pelantun lagu Sepenuh Cinta itu.
Disebabkan itu, penyanyi berusia 37 tahun itu akur andai dirinya tersingkir pada persembahan malam tadi memandangkan aksi peserta lain lebih menyerlah.
“Sejujurnya, saya sudah bersedia untuk pulang selepas menerima komen pedas daripada Tok Ram (Datuk Ramli MS).
“Adat dalam pertandingan siapa yang dapat permarkahan terendah kena keluar. Saya reda,” tuturnya.
Biarpun mendapat markah terendah, namun kesedihan Dina digantikan dengan beberapa kemenangan kecil selepas berpeluang memeluk penyanyi Indonesia, Raisa yang menjadi juri jemputan semalam.
Terdahulu, persembahan minggu kelapan GV9 semalam menyaksikan Jaclyn Victor merampas kedudukan Bob Yusof di nombor satu disusuli kumpulan V.E dan Tomok. – KOSMO! ONLINE