PETALING JAYA – Pengacara Nabil Ahmad menganggap pihak yang mengecam cara gurauannya terhadap penyanyi Indonesia, Raisa pada konsert minggu kelapan Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) malam tadi sebagai individu yang kurang faham konsep program hiburan.
Katanya, dia enggan melayan provokasi sedemikian yang dilihat seperti sengaja mencari kesalahan, sedangkan Raisa, wakil pengurusannya serta pihak produksi GV9 maklum itu hanya usikan.
Tegas Nabil, mereka yang faham tentang sesebuah program hiburan pasti sedar jenaka yang dilakukannya semalam bukan bertujuan mengejek.
“Kalau saya rasa perbuatan itu menghina atau memalukan apatah lagi kepada tetamu, saya sendiri akan terus meminta maaf.
“Mereka yang pandai kecam ini tahu ke proses sebelum sesebuah rancangan televisyen dirakamkan, lebih-lebih lagi siaran langsung seperti GV?
“Semua peserta, hos, juri, kru dan selebriti undangan akan diberikan penerangan bagaimana program berjalan,” jelasnya.
Bukan mahu mendabik dada kata Nabil, tetapi sepanjang sembilan tahun mengendalikan GV, dia tiada pernah terniat mengenakan sesiapa.
“Kalau masih mahu kutuk saya terpulanglah. Mungkin mereka maksum sampai membodoh-bodohkan orang.
“Itu bukan cara menegur, tapi bagi saya tak jadi kudis pun sebab mereka tak tahu senario belakang tabir,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pada masa sama, pelawak yang juga pengarah dan penerbit itu memaklumkan Raisa tiada masalah bertemu dengannya selepas persembahan malam tadi.
Malah penyanyi popular itu turut muncul dalam program radio kendaliannya pagi tadi sebagai tetamu undangan.
Menurut Nabil, penyanyi yang ramah itu sudah diberikan taklimat berkenaan GV yang santai dan diselitkan humor bagi menghidupkan suasana sebelum siaran langsung dimulakan.
“Pagi tadi Raisa datang ke konti. Kami sempat bersembang sebelum dia dan pengurusannya pulang. Dia ada ucapkan terima kasih, begitu juga pengurusnya yang menzahirkan rasa gembira diundang ke rancangan televisyen dan radio,” katanya.
Tambah selebriti yang berpengalaman luas mengendalikan program secara langsung itu, setiap kali usai bekerja dia akan meminta maaf kepada mereka yang bekerja dengannya, tidak terkecuali Raisa.
Nabil sekali gus secara sinis menyatakan antara dia dengan penyanyi itu sudah selesai, tetapi bagaimana pula dosa mereka yang berterusan mengutuknya tanpa usul periksa.
Terdahulu tindakan hos berusia 39 tahun itu mengajuk Raisa dengan menggunakan bahasa Inggeris mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen hingga ada yang melabelnya sebagai biadab dan tidak profesional. – KOSMO! ONLINE