PETALING JAYA – Pelakon, Wafariena Roslan nekad membuat laporan polis terhadap pengarah drama Mata Tak Berhijab, Khairi Azmi di Balai Polis Kundang, Selangor pada 26 Oktober lalu.
Menurut ibunya, Suzana Hamad, tindakan tegas tersebut diambil berikutan fitnah pengarah itu yang mendakwa anaknya melakukan aksi lagak ngeri untuk penggambaran drama berkenaan dengan rela hati.
Katanya, mereka telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim bagi menjelaskan babak tersebut yang sepatutnya dilakukan pelakon aksi lasak.
“Kami bersemuka dengan Ahmad Ibrahim supaya persatuan juga maklum mengenai kejadian sebenar. Kami juga menegaskan perkara yang dinyatakan pengarah terbabit adalah fitnah.
“Sebagai pengurusnya, saya ingin tegaskan Wafariena tidak beraksi secara rela untuk babak berbahaya dalam penggambaran berkenaan memandangkan dia tiada sebarang pengalaman,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah Suzana lagi, apa yang membuatkan pihaknya ralat apabila pengarah itu langsung tidak bertanya khabar mahupun meminta maaf selepas insiden tersebut menimpa Wafariena.
“Sedangkan dia tahu kecederaan Wafariena serius hingga mengambil masa lama untuk sembuh.
“Kalau selepas laporan polis dibuat baru nak hubungi kami, memang tiada makna lagi sebab seolah-olah keselamatan dan nyawa Wafariena tak bernilai pada matanya sedangkan dia nampak sendiri,” ujarnya.
Pada masa sama, Suzana, 58, turut menyatakan tindakan selanjutnya kini diserahkan kepada peguam yang dilantik.
Begitupun katanya, sebarang tindakan susulan hanya membabitkan pengarah, manakala penerbit pula berjanji mahu berjumpa pihaknya dalam bulan ini bagi memperincikan hal berbangkit.
“Sepatutnya kami bertemu produser bulan ini, tetapi tarikh belum dapat ditentukan berikutan kesibukan jadualnya. Antara yang kami akan perincikan adalah mengenai bayaran akhir serta bil rawatan,” katanya.
Berkenaan kesihatan anaknya, Suzana berkata, Wafariena sudah kembali ke set penggambaran namun hanya mengambil watak ringan disebabkan belum sembuh sepenuhnya.
“Berikutan kecederaan dalaman pada bahagian perut, dia terpaksa menolak dua tawaran tetapi meneruskan penggambaran untuk satu program yang sudah dipersetujui dari awal,” kongsinya lagi.
Terdahulu, pelakon berusia 27 tahun itu mendakwa dipaksa melakukan babak tercampak seperti ‘ditarik’ bagi menampakkan dirinya seolah-olah melambung dalam penggambaran Mata Tak Berhijab.
Susulan insiden yang berlaku pukul 3 pagi pada 8 Oktober lalu, Wafariena dimasukkan ke sebuah hospital di Rawang selain dikehendaki menjalani fisioterapi sebanyak tiga kali seminggu sehingga sembuh. – KOSMO! ONLINE