CANBERRA, Australia – Seorang bayi yang dilahirkan tiga bulan pramatang dengan tumor dua kali ganda lebih besar berbanding badannya, dianggap sebagai satu ‘keajaiban’ oleh doktor-doktor di Australia, lapor akhbar New York Post semalam.
Saylor Thomson lahir di Hospital Mater Mother’s Ogos lalu dengan berat 1.025 kilogram (kg), bersama tumor seberat 2 kg pada tulang ekornya.
Setelah menjalani imbasan ketika usia kandungan mencecah 20 minggu, ibu bapa bayi itu diberitahu bahawa anak perempuan mereka mempunyai 20 hingga 40 peratus peluang untuk hidup.
Beberapa minit selepas dilahirkan, sepasukan 25 kakitangan perubatan memulakan pembedahan selama enam jam untuk mengeluarkan tumor teratoma sacrococcygeal itu daripada tulang ekornya. Keadaan tersebut menjejaskan satu dalam setiap 40,000 kelahiran.
Dua bulan kemudian, Saylor beransur pulih dan menjadi semakin kuat dari hari ke hari.
Profesor Saliesh Kumar daripada unit perubatan janin yang membantu dalam proses kelahiran Saylor berkata, ia adalah antara tumor terbesar pernah dikeluarkan daripada seorang bayi di Hospital Mater.
“Kami tidak pasti mengapa tumor itu membesar tetapi ia tumbuh daripada sel-sel embrio. Keadaan itu empat kali ganda lebih berkemungkinan berlaku kepada bayi perempuan.
“Tumor pada Saylor sangat besar dan kompleks. Ia tumbuh pada pelvis dan perutnya,” kata Saliesh.
Ibu Saylor, Rachel berkata, anaknya adalah ‘pejuang kecil yang bersemangat’. Dia akhirnya dapat mendukung Saylor selepas 10 hari bayi itu dilahirkan.
Pakar neonatologi hospital berkenaan, Dr. Richard Mausling berkata, kepakaran dan kemahiran pasukan perubatan membantu meningkatkan peluang bayi berkenaan untuk terus hidup. – Agensi