JOHOR BAHRU – Tujuh lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana merusuh sehingga menyebabkan kerosakan ke atas sebuah kereta di Taman Kota Masai, Pasir Gudang pada 3 November lalu.
Empat daripada mereka merupakan penghantar makanan P-Hailing, manakala tiga yang lain adalah penuntut, penjual topi secara atas talian dan juga pembaiki mesin basuh serta televisyen.
Tertuduh adalah Muhammad Adam Abd. Rahim, 18; Mohamad Hairul Hasraf Seeni Abdul Cader, 22; Morrisson Malvin Anak Mada, 19, Shaikh Al Amin Idrus, 21;
Selain itu, Nur Khairul Amal Abdul Harsir, 19, Daniel Haziq Syikhanna, 21 dan Romie Rahimi, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama-sama telah melakukan khianat dengan merosakkan cermin dan pintu kereta dan menterbalikkan kereta jenis Perodua Myvi milik Tan Jing Hui, 21, menyebabkan dia menanggung kerugian berjumlah RM15,000.
Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu dengan menumbuk, menendang, menghentak menggunakan topi keledar dan membaling batu dan menterbalikkan kereta itu di sebuah stesen minyak di Taman Kota Masai, Pasir Gudang pada pukul 9.40 malam, Khamis lalu.
Atas perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau tidak lebih lima tahun, atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudian menetapkan setiap tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 setiap seorang, dengan syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi kejadian serta perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Hidayatul Syuhada kemudian menetapkan tarikh 18 Disember untuk sebutan semula kes bagi pendengaran fakta dan hukuman.