PETALING JAYA – Penyanyi Zamani Slam selamat menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis di sebuah pusat perubatan di Cheras, pukul 3.15 petang tadi.
Khabar menggembirakan tersebut dikongsikan isterinya, Nur Juliana Abd. Rani menerusi perkongsian dalam Instagram.
“Syukur Alhamdulillah. Dengan izin Allah Abang Zamani selamat menjalani pembedahan sebentar tadi. Terima kasih atas doa-doa buat Abang Zamani,” tulisnya.
Juliana turut menyertakan gambar bilik pembedahan vokalis Slam itu menjalani operasi berkenaan.
Isteri kepada penyanyi berusia 51 tahun itu ketika dihubungi Kosmo! Online sebelum itu turut memaklumkan suaminya dimasukkan ke dewan bedah sekitar pukul 8 pagi.
Prosedur pembedahan tersebut memakan masa hampir tujuh jam seperti yang dimaklumkan pakar perubatan.
Terdahulu, penyanyi lagu Gerimis Mengundang itu meminta peminat mendoakan kelancaran pembedahan membabitkan bahagian tunjang yang agak kritikal.
Menurutnya, tempoh pemulihan akan mengambil masa antara dua hingga enam minggu.
Malah dia turut memerlukan tempoh selama tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum boleh aktif menyanyi semula.
Zamani berhadapan masalah tulang belakang membengkok sejak beberapa tahun lalu yang memerlukannya menjalani pembedahan segera. – KOSMO! ONLINE