fbpx

19 terkorban dalam nahas sebuah pesawat di Tanzania

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA penyelamat mencari mangsa yang terselamat selepas pesawat Precision Air yang membawa 43 orang terhempas ke dalam Tasik Victoria ketika ia cuba mendarat di bandar tepi tasik Bukoba, Tanzania semalam. - AFP

DODOMA, Tanzania – Angka korban nahas udara di Tanzania meningkat kepada 19 orang, kata Perdana Menteri, Kassim Majaliwa, selepas sebuah pesawat komersial milik syarikat penerbangan Precision Air membawa berpuluh-puluh penumpang terhempas ke dalam Tasik Victoria ketika menghampiri bandar Bukoba.

“Semua warga Tanzania bersama berkabung atas kehilangan 19 nyawa dalam kemalangan ini,” kata Majaliwa kepada orang ramai selepas tiba di lapangan terbang Bukoba.

Pesawat tersebut dijadualkan mendarat di hab kewangan Tanzania, Dar es Salaam.

Pihak berkuasa tempatan sebelum ini berkata, seramai 26 mangsa daripada 46 penumpang yang menaiki penerbangan PW494 itu telah diselamatkan dan dibawa ke hospital bandar itu.

Bagaimanapun, Precision Air yang merupakan syarikat penerbangan persendirian terbesar di Tanzania dalam satu kenyataan berkata, 24 orang terselamat dalam nahas itu. 

Menurut seorang pegawai syarikat itu, dua pesakit lain yang dimasukkan ke hospital, bukan kru atau penumpang pesawat berkenaan.

“Terdapat dua orang yang cedera semasa usaha menyelamat dan dikira sebagai mangsa terselamat tetapi mereka bukan penumpang,” kata pegawai itu yang enggan identitinya didedahkan.

Menurut Precision Air, pihaknya telah menghantar pasukan penyelamat dan penyiasat ke lokasi kejadian dan menzahirkan ucapan ‘takziah yang mendalam’ berhubung nahas tersebut.

Kemalangan itu berlaku sekitar pukul 8.53 pagi (waktu tempatan) semalam.

Syarikat itu berkata, pesawat jenis ATR 42-5000 itu dinaiki 39 penumpang termasuk seorang bayi bersama empat anak kapal.

Rakaman video yang dikongsikan di media tempatan menunjukkan sebahagian besar pesawat itu tenggelam ketika anggota penyelamat dan nelayan, mengharungi air untuk membawa mangsa  ke tempat selamat.

Pekerja kecemasan cuba menarik pesawat itu keluar dari air menggunakan kabel yang dibantu oleh sebuah kren.

Presiden Tanzania, Samia Suluhu Hassan mengucapkan takziah kepada mereka yang terjejas dan berkata: “Kami berdoa kepada Tuhan untuk membantu kami.”

Bencana itu merupakan antara nahas pesawat paling berdarah dalam sejarah negara Afrika Timur itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI