JOHOR BAHRU – Kenyataan yang tular di media sosial yang memetik Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengatakan pemimpin UMNO tidak berguna wajar disingkirkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini adalah palsu.
Tunku Mahkota Johor menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti mana disebarkan di dalam gambar yang tular itu.
Beliau berkata, kenyataan itu adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh Royal Press Office atau di laman sosial rasmi miliknya.
“Ini adalah satu kenyataan palsu disebarkan secara berterusan pihak tidak bertanggungjawab di dalam pelbagai aplikasi media sosial,” tulis kenyataan yang dimuat naik di Facebook Royal Press Office sebentar hari ini.
Terdahulu, tular gambar Tunku Ismail dengan tertera kenyataan menghina parti UMNO Yang dikatakan dikelilingi pemimpin tidak berguna.
Menurut kenyataan itu lagi, menyatakan bahawa menjadi tanggungjawab rakyat untuk membuang ‘sampah’ ini pada PRU15 ini.
Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office) sebelum ini sudah membuat laporan polis berhubung penyebaran kenyataan palsu ini.
Tunku Mahkota Johor berkata, segala kenyataan atau laporan berita berkaitan dengan Baginda ataupun Keluarga DiRaja Johor hanya akan dikeluarkan oleh Royal Press Office atau di laman sosial rasmi Baginda sahaja.
Sejak semalam, semua parti politik yang mengambil bahagian pada PRU15 sudah mula berkempen setelah selesai proses penamaan calon di kawasan Parlimen masing-masing.-KOSMO! ONLINE.