MELAKA – Dua rumah hangus, manakala sebuah lagi terbakar 10 peratus dalam kejadian di Kampung Pengkalan Rama Pantai, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, kesemua mangsa termasuk tiga kanak-kanak Rohingya berusia antara tiga hingga lima tahun sempat menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Timbalan Penguasa Bomba II Yazid Mohd. Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.08 pagi.
Katanya, dua jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dan Padang Temu telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi kita dapati dua rumah telah terbakar sebanyak 80 peratus, manakala sebuah lagi 10 peratus.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak kira-kira 20 minit kemudian,” katanya.
Tambahnya, kebakaran itu turut memusnahkan tiga motosikal dan empat lagi kenderaan mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus.
“Difahamkan salah sebuah rumah yang hangus didiami seorang wanita etnik Rohingnya bersama tiga anaknya yang masih kecil, namun kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri.
“Sebuah lagi rumah yang terbakar 10 peratus didiami empat sekeluarga termasuk seorang warga emas berusia 85 tahun,”katanya.
Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE