fbpx

PRU15: Terserah kepada SPR hentikan PRU – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri beramah mesra dengan penyokong BN pada Program Kenduri Rakyat Bersama Komuniti Bandar Kemayan di Bera hari ini.

BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan menghentikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika berlaku banjir besar adalah terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, dalam isu itu beliau akan mengadakan perbincangan dengan SPR sekiranya terdapat alternatif lain yang boleh dilaksanakan jika berlaku kejadian banjir besar yang menyebabkan pengundi tidak boleh keluar untuk membuang undi.

Jelasnya, perbincangan akan turut diadakan dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang akan disertai setiausaha kerajaan di negeri-negeri yang terlibat bencana banjir.

“SPR boleh memberikan pandangan dan kalau hendak menghentikan pilihan raya pun terserah kepada SPR,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Kenduri Rakyat Bersama Komuniti Bandar Kemayan di Bilik Gerakan Bandar Kemayan di sini hari ini.

MetMalaysia pada Khamis lalu melaporkan bahawa Monsun Timur Laut (MTL) akan berlaku lebih awal daripada jangkaan, ketika negara bersiap sedia menghadapi PRU15.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata, seperti musim-musim yang lalu, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.

Menurut Ismail Sabri, persediaan telah dilakukan kerajaan melibatkan pihak berkuasa terbabit dalam berhadapan dengan isu banjir.

Ismail Sabri berkata, sebelum penamaan calon beliau telah ke Bukit Aman bagi mendengar taklimat Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung persediaan menghadapi banjir.

Beliau berkata, dua bulan sebelum Parlimen dibubarkan pun, beliau mempengerusikan mesyuarat pengurusan bencana banjir dengan Menteri Besar seluruh negara.

“Daripada segi persediaan banjir, dua bulan sebelum bubar Parlimen kita telah buat persediaan. Banjir ini walaupun melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang merupakan punca kuasa, tetapi kuasa sebenar selaras banjir adalah negeri-negeri dan saya difahamkan setiap daerah di negara ini telah dibentuk pusat pengurusan bencana daerah.

“Persedian telah ada dan saya harap kalau berlalu banjir, tidak seteruk seperti sebelum ini dan pusat pemindahan banjir telah dibuka sejak bulan Oktober lagi,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI