BAGAN DATUK – Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan manifestonya esok dengan tawaran 10 teras utama dan 99 strategi untuk kesejahteraan rakyat dan negara.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, 10 teras itu akan menjadi perubahan atau ‘game changer’ dalam meletakkan rakyat dan negara berada di landasan betul khususnya dalam menghadapi jangkaan kemelesetan ekonomi dunia tahun depan.
“Ada 99 langkah terperinci yang telah kita susun dan bagi menentukan setiap golongan masyarakat terutama B40 (golongan miskin), M40 (golongan pertengahan), tanpa melupakan T20 (golongan atasan) mendapat pembelaan.
“Kesejahteraan rakyat diberi keutamaan dan dalam masa sama memastikan pertumbuhan ekonomi negara (terus berlaku) dalam keadaan permulaan kemelesetan ekonomi dunia dijangka berlaku (tahun depan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas program bersama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sungai Nipah Darat di sini hari ini.
Menurut beliau, manifesto tersebut akan menggariskan langkah-langkah yang bakal dilaksanakan bagi memastikan jangkaan kemelesetan ekonomi dunia itu tidak akan memudaratkan atau memberi kesan buruk kepada rakyat negara ini.
Pada masa sama, jelas beliau, BN mahu memastikan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) dipertingkatkan agar lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan dan nilai eksport meningkat.
Tambahnya, BN juga mahu memastikan golongan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi, diberi latihan peningkatan kemahiran untuk meningkatkan peluang di pasaran kerja.
Beliau memaklumkan program serta usaha untuk membantu golongan siswazah menganggur akan turut dijelaskan dalam manifesto yang bertemakan ‘Kestabilan dan Kemakmuran’ itu.
“Pengumuman manifesto ini akan disiarkan secara langsung dalam media sosial dan disediakan dalam bentuk bahan bercetak yang akan diedarkan ke PDM seluruh negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE