fbpx

Pelatih NHDP meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WOLFSON meninggal dunia ketika menyertai Klinik Penjaga Gol NHDP di Akademi Hoki Raja Ashman, Ipoh pagi tadi. - MHC

KUALA LUMPUR – Seorang pelatih Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP), Bill Wolfson Anak Lianie disahkan telah meninggal dunia ketika mengikuti Program Klinik Penjaga Gol NHDP di Akademi Hoki Raja Ashman di Ipoh, Perak.

Perkara itu disahkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menerusi kenyataan itu, mendiang Wolfson bersama rakannya baru selesai mandi pagi apabila mendiang mengadu tidak selesa dan berasa akan pitam sebelum secara tiba-tiba rebah dalam biliknya.

“Pengurusan NHDP memanggil ambulans dan bantuan CPR telah dilakukan. Mendiang telah dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

“Selepas cubaan menyelamatkan nyawa oleh pegawai-pegawai perubatan, mendiang akhirnya disahkan meninggal dunia. Pihak hospital masih menyiasat punca sebenar kematian mendiang,” menurut kenyataan itu.

Mendiang Wolfson, 14, adalah pelatih di Pusat Latihan Daerah (PLD) NHDP dari Sekolah Menengah Kebangsaan Penrissen, Kuching, Sarawak yang terpilih mengikuti klinik penjaga gol di Ipoh pada 5 dan 6 November bersempena penganjuran Piala Sultan Azlan Shah.

Pihak pengurusan NHDP telah menghubungi keluarga mendiang Wolfson dan ibu saudara mendiang telah hadir bagi membantu pengurusan jenazah yang akan dibawa pulang untuk pengebumian di Kuching.

“Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dijadual merasmikan majlis penutup Klinik Penjaga Gol terkejut dengan berita kematian itu dan telah mengarahkan pengurusan MSN dan MHC untuk menguruskan jenazah mendiang.

“Kerajaan Perak, menerusi Majlis Sukan Negeri Perak, turut membantu pengurusan jenazah. MSN dan seluruh warga NHDP amat berdukacita dengan pemergian mendiang Wolfson dan ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang serta Persatuan Hoki Sarawak,” menurut kenyataan itu lagi.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal bersama timbalan presiden merangkap pengerusi jawatankuasa pembangunan, Profesor Datuk Dr. S. Shamala dan Presiden Persatuan Hoki Perak, Sayuti Abdul Samat, turut berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk menguruskan jenazah mendiang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI