fbpx

Netizen minta Nabil jaga adab, henti ajuk Inggeris Raisa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NABIL AHMAD diminta berhenti mengajuk pilihan bahasa komunikasi Raisa yang ternyata selesa berbicara dalam bahasa Inggeris.

PETALING JAYA – Netizen menggesa pengacara Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Nabil Ahmad menghormati juri jemputan, Raisa dengan berhenti mengajuk penyanyi itu yang lebih selesa memberikan kritikan menggunakan bahasa Inggeris.

Menjengah gelanggang Twitter, ramai dalam kalangan pengguna platform media sosial tersebut melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Nabil atau nama sebenarnya, Ahmad Nabil Ahmad yang gemar berseloroh berhubung perihal terbabit.

“Bila Nabil ajuk Raisa cakap Inggeris, baru aku sedar benda ni berlaku di mana-mana sahaja.

“Dari budak-budak kecil di sekolah, universiti dan bahkan di tempat kerja pun atau dalam kalangan rakan-rakan dan famili, kalau ada yang jenis suka ‘speaking’, mesti ada yang suka ajuk macamlah benda itu pelik,” ujar seorang pengguna Twitter.

Sementara itu, ramai netizen yang meminta Nabil menjaga adab mengendalikan program realiti nombor satu tanah air tersebut.

“Kesian dia (Raisa). terus masam muka. Saya berharap Raisa okey dan tak ambil hati sangat,” demikian antara ciapan ‘pedas’ ditinggalkan netizen.

Terdahulu, Nabil meninggalkan komen berseloroh terhadap Raisa yang memiliki hampir 40 juta pengikut Instagram berbunyi: “Menyesallah tu ‘speaking’ English tadi kan Raisa.”

Raisa atau nama sebenarnya, Raisa Andriana, 32, sememangnya selesa berkomunikasi dalam bahasa Inggeris sementelah fasih berbahasa Indonesia dalam kehidupan sehariannya.

Terdahulu, GV9 membuat kejutan dengan menjemput penyanyi lagu Usai Di Sini itu selaku juri jemputan konsert minggu kelapan malam ini.

Ini merupakan pengalaman pertamanya menjadi juri jemputan dalam pertandingan program hiburan di Malaysia, termasuk sepanjang tempoh penganjuran GV.

Raisa berada di Malaysia bersempena promosi konsertnya yang bakal berlangsung pada 20 November depan di Zepp Kuala Lumpur.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI