SHAH ALAM – Seperti mimpi jadi kenyataan, kumpulan Hujan tidak menyangka mampu mengadakan persembahan berskala besar, Konsert Hujan Rumah Kita yang berlangsung di Stadium Malawati di sini semalam.
Menurut vokalisnya, Noh Salleh, 37, kehadiran lebih 5,000 penonton pada konsert malam tadi sememangnya satu perkara yang tidak terjangka.
“Kali terakhir saya ingat konsert Anuar Zain pada tahun 2013 pernah menerima jumlah crowd (penonton) sebegini di sini.
“Terima kasih atas sokongan Raingers! Konsert ini bukan tentang kami tetapi untuk anda semua!” katanya.
Tambah Noh, kehadiran ribuan peminat malam tadi juga mencetuskan rasa bahawa karya-karya Hujan masih dirai dan dihargai meskipun sudah 17 tahun bertapak dalam industri seni.
“Sambutan anda berikan ini luar biasa walaupun usia kami sudah mencecah 17 tahun.
“Penganjuran konsert ini pun kerja ‘gila’, terima kasih juga kepada penganjur dan anda semua yang telah membeli tiket. Anda semua memang ‘gila’,” ujarnya.
Pada konsert tersebut, Hujan menyampaikan sebanyak 30 buah lagu termasuk Aku Skandal, Pagi Yang Gelap, Lonely Soldier Boy, Kotak Hati dan Ludah Amerika.
Membawa kejutan kepada penonton yang hadir, Hujan turut menjemput penyanyi senior Aris Ariwatan yang menyampaikan lagu Lamunan Terhenti yang diberi nafas baharu.
Bukan itu sahaja, kemunculan Naim Daniel dengan nyanyian bertenaga menerusi lagu Pelangi Dan Kau turut menggamatkan pentas pada acara tersebut.
Pada acara sama, salah seorang ahli kumpulan Hujan yang berasal dari Indonesia, Hang Dimas Santoso turut ‘turun’ melengkapkan band tersebut bersama Noh, Ag Coco, Azham dan Izzat Uzaini.
Tahun lalu, Hujan pernah muncul dengan konsert Hujan 16 Tahun di PJPAC yang merupakan acara besar mereka selepas pandemik Covid-19. – KOSMO! ONLINE