JAKARTA – Seorang lelaki di Indonesia didakwa mendera anak teman wanitanya yang berusia empat tahun sehingga meninggal dunia kerana mangsa kerap menangis, lapor laman berita Suara.com.
Randi Pebriansah memukul anak Amelia, 20, yang bernama MA dalam kejadian di Batam, Kepulauan Riau pada Khamis lalu.
“Kecurigaan keluarga ibu mangsa menjadi permulaan kepada pendedahan kes penderaan ini,” kata Ketua Polis Sei Beduk, Betty Novia.
Pada awalnya, keluarga ibu mangsa mendapat berita mengenai kematian MA dan meminta jenazah kanak-kanak itu dibawa ke Tanjung Riau, Sekupang untuk dikebumikan. Bagaimanapun, mereka menemui sesuatu yang aneh pada jenazah budak itu.
“Keluarga itu melihat mayat MA dalam keadaan kematian yang luar biasa dengan kesan bengkak di dahi dan lebam di beberapa bahagian badan,” jelas Betty.
Menurut Amelia, dia meminta Rendi menjaga anaknya ketika dia bekerja. Sebelum MA meninggal dunia, dia dimaklumkan oleh lelaki itu bahawa anaknya berada dalam keadaan yang lemah.
Amelia kemudian membawa anaknya ke Pusat Kesihatan Sei Pancur untuk menerima rawatan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di sana.
“Akibat desakan keluarga, ibu mangsa melaporkan kejadian itu kepada polis. Hasil siasatan mendapati kesan dera di tubuh MA telah dilakukan oleh Randi,” kata Betty.
Rendi didakwa mendera MA kerana budak itu sering menangis. Dia telah memukul, mencekik dan melempar budak itu untuk mendiamkannya.
Rendi berkata, dia geram kerana MA masih menangis walaupun dia cuba menenangkannya. Setelah MA lemah dan tidak berdaya, dia terus menelefon Amelia untuk dibawa ke hospital.
Rendi kini ditahan di Balai Polis Sei Beduk. – Agensi