SHAH ALAM – Kira-kira 1,000 penduduk Jalan Siswi Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36 diibaratkan berada di ‘medan perang’ sejak lima tahun lalu apabila berdepan dengan jalan rosak dan mendap selain parit kecil.
Lebih menambah derita, mereka mendakwa kerja-kerja baik pulih termasuk penyelenggaraan parit hanya dibuat selepas penduduk melakukan protes.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Sungai Kandis, Ibrahim Redwan berkata, ini diburukkan lagi projek Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang seolah-olah tidak memikirkan aspek keselamatan penduduk.
Katanya, jalan kampung itu telah menjadi laluan pintas ke pusat bandar ditambah kehadiran lori yang membuatkan jalan terus bertambah rosak.
“Jalan ini sangat kecil, menjadi sibuk dan sesak setiap kali waktu puncak dengan kehadiran kenderaan berat seperti lori.
“Kita minta bonggol supaya pemandu yang kebanyakan dari luar agar tidak laju sehingga membahayakan penduduk kampung terutama kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di lokasi tersebut hari ini.
Menurutnya, keengganan pihak kontraktor membuat pusingan U turut menyebabkan orang ramai terpaksa melakukannya di jalan besar sehingga banyak berlaku kemalangan.
“Kita pernah ajukan perkara ini, namun alasan diberi adalah mereka tidak mempunyai bajet. Ini sesuatu yang sangat kecewa.
Seorang penduduk, Khairul Anuar Abdul Rahman, 62, pula memaklumkan parit kecil termasuk ada yang mendap menyebabkan saluran air perlahan.
“Lokasi ini tidak pernah banjir, tetapi tahun lepas rumah saya ditenggelami sehingga paras paha. Dinding rumah saya pun ada retak, namun saya tampal (guna simen) begitu sahaja.
“Bila hujan amat trauma dan mohon besarkan parit ini. Adakah mahu tunggu protes baru hendak buat kerja,” katanya.
Jelasnya, pihaknya tidak menghalang pembangunan termasuk projek WCE, namun harus seimbang keperluan penduduk.
Sementara itu, Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Raja, D. Kajendran yang turun melawat pengundi menerima memorandum daripada penduduk supaya penyelesaian segera dapat dilakukan daripada pihak berwajib.
“Berdasarkan maklumat awal penduduk mendapati projek ini agak perlahan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu dan sepatutnya siap dua tahun lalu.
“Saya cuba memanjangkan kepada pihak pemaju dan pihak berkuasa tempatan supaya ada jalan penyelesaian terbaik mengatasi masalah ini,” katanya. – KOSMO!ONLINE