fbpx

Isteri sokong 200 peratus Ahmad Idham dalam politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Idham bersama keluarga dan penyokongnya.

PORT DICKSON – Isteri kepada calon Pejuang pelakon dan pengarah, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri menyifatkan suaminya sebagai individu ikhlas berbakti serta akan memberi sokongan 200 peratus sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jameah Abdul Aziz, 46, berkata, walaupun dikenali sebagai seorang selebriti, suaminya serius dan memberi komitmen terbaik untuk berkhidmat kepada masyarakat Port Dickson.

“Sebagai isteri, saya akan membantu segala aktiviti kempen suami dan sokong 200 peratus, malah saya sudah mula selesa berada di sini (Port Dickson).

“Saya nampak kesungguhannya dalam memperjuangkan nasib rakyat terutama anak-anak istimewa,” katanya ketika ditemui di sini.

Dalam pada itu, Jameah berkata, beliau sama sekali tidak terkesan dengan komen-komen netizen yang mengkritik pembabitan suaminya dalam pilihan raya kali ini.

“Sesiapa saja berhak untuk bersuara dan pandangan mereka juga perlu diambil kira, namun ia tidak sesekali melemahkan semangat Ahmad Idham.

“Saya tidak nafikan orang masih melihat dia sebagai penggiat industri seni, tapi sebenarnya bukan 100 peratus penglibatannya dalam bidang itu semata-mata,” katanya.

Jelas Jameah, Ahmad Idham juga pernah berkhidmat dalam kerajaan dan merupakan pengasas kepada sebuah sekolah istimewa yang ditubuhkannya Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus sempena nama anak mereka.

Pasangan itu dikurniakan anak istimewa Ahmad Firdaus, 22 dan tiga cahaya mata lain iaitu Ahmad Aydeel, 18, Kintan Myra, 16, dan Ahmad Khaliff, 12.

Sementara itu, Ahmad Idham berkata, beliau bukan sekadar berjanji politik, tetapi sebagai orang yang terlibat dalam badan bukan kerajaan (NGO) masalah dari peringkat bawah atau akar umbi perlu diambil kira.

Bagaimanapun, Ahmad Idham mengakui sebagai parti baharu, mereka tidak mempunyai peruntukan yang besar seperti lain.

“Tapi apa yang kami ada, kami ada hati yang besar untuk membantu masyarakat di Port Dickson.

“Sebab itu sekarang saya bukan sekadar jatuh cinta dengan Port Dickson, tetapi sebenarnya hati saya sudah terpahat di sini,” katanya.

Ahmad Idham turut komited mewujudkan sistem sokongan komuniti dalam kalangan keluarga anak-anak istimewa sebagai lima agenda bagi meningkatkan tahap kehidupan penduduk di lokasi percutian popular itu jika menang pada PRU15.

Beliau dijangka berdepan saingan sengit daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun daripada Pakatan Harapan (PH), bekas Timbalan Menteri Pendidikan dari Barisan Nasional, Datuk P. Kamalanathan.

Turut disaingi aktivis masyarakat, Abdul Rani Kulup Abdullah yang popular dengan panggilan ‘Ayahanda’, sebagai calon bebas dan calon Perikatan Nasional, Rafiei Mustapha. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI