PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di empat negeri sehingga pukul 9 pagi ini.
MetMalaysia berkata, empat negeri tersebut adalah Pulau Pinang, Perak, Sarawak dan Sabah.
“Cuaca buruk diramal bagi seluruh kawasan di Pulau Pinang, manakala di Perak (Kerian dan Larut, Matang Dan Selama),” katanya menerusi kenyataan di laman sesawangnya.
Dalam pada itu, di Sarawak kawasan yang dijangka berdepan dengan ribut petir adalah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei (Sarikei) dan Mukah (Tanjung Manis) manakala di Sabah, Sandakan (Telupid dan Beluran) dan Kudat (Pitas dan Kudat).
“Bagi kawasan-kawasan di negeri lain sekitar Semenanjung, cuaca diramalkan dalam keadaan baik dan cerah ekoran tiada laporan hujan dikeluarkan,” katanya.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE