DUNGUN – Seorang buruh maut selepas motosikal jenis Honda RS-X ditungganginya hilang kawalan lalu terbabas di Kilometer 377.2, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Bukit Besi di sini semalam.
Dalam kemalangan pada pukul 6 petang itu, mangsa, Shahriman Makhtar, 29, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian muka dan kepala.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, Shariman dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kemaman dari rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu, Kelantan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggangi mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri laluan lebuh raya.
“Impak kemalangan itu menyebabkan kepala dan muka mangsa cedera parah akibat terjatuh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Baharudin berkata, pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian mengesahkan Shahriman sudah meninggal dunia.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE