Sebagai seorang individu, keputusan-keputusan besar dalam hidup lazimnya dilakukan dengan penuh berhati-hati bagi memastikan pilihan yang dibuat adalah tepat dan terbaik.
Sebelum membuat keputusan, kita pastinya akan berfikir masak-masak serta mendapatkan pandangan daripada orang lain yang lebih berpengalaman sebelum bertindak.
Bagaimanapun, lain pula kisahnya dengan seorang pesohor media sosial dari Paris, Perancis yang menjalani hidup dengan mengikut pilihan pengikutnya di media sosial.
Wanita yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Laurie itu akan meletakkan undian atau poll pada platform media sosialnya sebelum membuat keputusan berdasarkan pilihan pengikut.
Ia termasuk keputusan kecil seperti menu yang patut dia makan pada hari itu.
Dia juga meminta undian pengikut di dalam media sosial berkaitan hubungan dengan teman lelaki serta pilihan bidang pengajiannya.
Laurie telah menulis pada ruangan biodata di akaun media sosialnya bahawa setiap undian yang dilakukan bukanlah satu gurauan.
“Tidak, ini bukan gurauan. Saya memutuskan untuk tidak lagi membuat keputusan besar dalam hidup ini.
“Sebaliknya, anda semua yang akan menentukan masa depan akaun ini,” demikian tulisnya pada salah satu akaun media sosial milik Laurie.
Jelasnya, dia akan memuat naik polls pada akaun Telegram miliknya sebanyak dua kali seminggu.
Daripada situ, pengikut yang mengikuti akaun Telegram miliknya boleh membuat undian sebelum Laurie menunaikannya berdasarkan keputusan undian tersebut.
“Segala keputusan dalam hidup saya sama ada penting atau tidak bergantung kepada peminat saya.
“Sejujurnya, saya tidak menyesal kerana saya tidak tahu pengalaman ini akan membawa saya ke mana dalam hidup, namun saya teruja.
“Saya menyerahkan sepenuhnya hak membuat keputusan dalam hidup ini kepada peminat saya. Saya tidak sabar untuk tahu apa yang akan berlaku seterusnya,” ujarnya.
Tambah wanita berusia 23 tahun itu, ramai menganggap tindakannya itu sebagai tidak masuk akal dan berkemungkinan akan menyebabkan hidupnya musnah.
Namun, Laurie berkata, dia mengelak daripada melakukan tindakan yang berpotensi menyebabkan dirinya berdepan sebarang masalah.
“Sebagai contoh, saya mengelak daripada membuat keputusan yang mungkin menyebabkan saya berada dalam keadaan bahaya, membahayakan orang lain atau menyebabkan saya dibenci,” jelasnya.
Malah, Laurie mendakwa dia tidak pernah menyesali tindakannya membiarkan para pengikut membuat keputusan berkaitan hidupnya.
Jelasnya, ini kerana keputusan-keputusan yang dipilih pengikut membolehkannya melakukan beberapa perkara menakjubkan dalam hidup.
Antaranya seperti mengatasi rasa takut terhadap ketinggian, meninggalkan teman lelaki toksik dan menukar tempat latihan praktikal yang tidak membahagiakannya.
“Disebabkan keputusan-keputusan ini ditentukan oleh pengikut, saya telah berjaya meninggalkan teman lelaki toksik dan melakukan penggambaran di sebuah gelanggang tenis.
“Saya berjaya menjelajah menggunakan helikopter walaupun saya sebenarnya amat takutkan ketinggian. Saya juga telah meninggalkan tempat latihan praktikal yang tidak memberi makna kepada saya,” katanya.