KUALA SELANGOR – Tujuh sekeluarga dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air susulan limpahan air akibat ban pecah di sekitar Tanjong Karang, awal pagi tadi.
Kesemua mereka berusia empat hingga 70 tahun dipindahkan ke rumah jiran berhampiran.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 4.07 pagi.
Katanya, berdasarkan maklumat awal mendapati berlaku ban pecah di kawasan pekan Tanjong Karang.
“Ini menyebabkan limpahan air sungai ke kawasan sekitar Tanjong Karang pada kedalaman 0.5 meter.
“Bomba yang melakukan pemantauan kemudiannya mendapati air semakin naik sehingga paras satu meter di kawasan pasar Tanjong Karang kira-kira lebih sejam kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini
Tambah beliau, operasi pemindahan kemudiannya dilakukan bermula pukul 5.25 pagi melibatkan sebuah keluarga selepas rumah mereka dinaiki air.
Ujarnya, ini melibatkan tujuh individu termasuk empat daripada adalah kanak-kanak ke rumah jiran berhampiran.
“Air menunjukkan tren penurunan kira-kira pukul 6.13 pagi dengan pemantauan masih dilakukan di kawasan sekitar,” katanya. – KOSMO! ONLINE