PORT DICKSON – Anggota tentera darat diingatkan agar tidak terlibat secara langsung sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain bagaimanapun berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah sekiranya mereka mahu mengikuti ceramah politik yang diadakan.
“Kalau mahu dengar syarahan boleh pergi lah, tetapi datang sebagai individu jangan datang sebagai parti politik terjerit sana sini.
“Kalau tidak membenarkan mereka pergi, ‘straight’ (tegas) sangat pun tidak boleh kerana di media sosial banyak terdapat kempen secara langsung, tidak boleh terlalu tegas sangat.
“Saya juga telah memaklumkan panglima-panglima saya supaya tidak terlalu tegas. Cuma janganlah (sehingga) bawa sepanduk, mereka (anggota tentera) sudah cerdik dan kami sekarang lebih terbuka sedikit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Peringkat Negeri Sembilan di Kem Segenting di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan, seramai 472 orang veteran ATM menerima pingat PJM.
Zamrose memaklumkan, anugerah hari ini diberikan kepada veteran tentera yang telah berkhidmat dalam operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) dari 1 Januari 1969 sehingga 2 Disember 1989.
Pingat yang sama juga dianugerahkan kepada anggota veteran ATM yang menentang Pasukan Komunis Kalimantan Utara dari 1 Januari 1969 sehingga 17 Oktober 1990.
Penganugerahan PJM telah dilaksanakan mulai Mac 2004 merupakan pengiktirafan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan dalam menyumbang kepada kebebasan Malaysia daripada ancaman pengganas komunis.
Sehingga kini, terdapat 32,440 warga veteran ATM telah menerima pingat berkenaan. – KOSMO! ONLINE