Makin sibuk rakan sebaya yang memiliki sebuah restoran di sebuah daerah popular di Perak membuat persiapan untuk menerima kunjungan pelanggan yang dijangka bertambah bersempena bermulanya ‘perang’ kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Wanita yang pandai menguli tepung dan menebar roti canai sejak di bangku sekolah itu percaya aktiviti berkempen oleh pelbagai parti sempena pilihan raya bermula minggu ini bakal menyumbang rezeki berganda buat peniaga kecil seperti dirinya.
Terkesan sepanjang dua tahun dalam tempoh pandemik, pelbagai ikhtiar dilakukan wanita yang hanya dikenali sebagai Seri, untuk menghidupkan semula perniagaan warisan keluarganya.
Kini dia mampu tersenyum lebar kerana selain pendapatan daripada warung roti canai, tempahan makanan untuk pelbagai program yang diusahakan secara kecil-kecilan melalui syarikat kateringnya juga sudah mula diterima.
Itu kisah peniaga katering dan roti canai, lain pula dengan seorang ibu tunggal, Opah Lijah yang juga semakin sibuk hingga tidak cukup tangan ‘bersilat’ di dapur bersama kru memasak untuk menyiapkan tempahan pelbagai makanan dan minuman sepanjang kempen PRU sehingga 20 November ini.
Seawal pagi Opah Lijah sudah keluar rumah sehingga malam selepas waktu isyak baru dapat meluruskan kaki tuanya berehat di hadapan televisyen sementara melayan kerenah anak cucunya.
Meskipun penat bermandi peluh memasak di dapur untuk menyediakan hidangan utama termasuk kuih muih tetapi hatinya puas dapat membantu menjayakan serta melicinkan aktiviti berkempen mana-mana parti yang bertanding tanpa ada rasa berbelah bahagi.
Janji poket tidak kosong apatah lagi, air tangan hasil masakannya akan dinikmati oleh orang kampung, petugas parti, ahli politik dan orang kenamaan dalam majlis yang bakal mereka hadiri.
Seri dan Opah Lijah adalah antara ribuan peniaga kecil di kawasan luar bandar dan ceruk kampung yang bakal sibuk dengan aktiviti niaga masing-masing untuk memenuhi tempahan pelbagai parti, syarikat dan orang perseorangan yang telah dirangka awal atau mungkin akan dibuat secara mengejut nanti.
Meskipun ada juga peniaga lain yang memperoleh upah pasang khemah, pembekal cenderahati, vendor membekalkan stok makanan dan barangan keperluan lain tetapi semuanya itu melibatkan modal wang ringgit.
Adalah lebih baik tunai bertukar tangan atau dipindah masuk ke akaun bank sebaik sahaja tempahan disiapkan bukan terpaksa menunggu habis kempen pilihan raya atau mungkin ada yang buat-buat lupa sehingga tibanya pilihan raya untuk musim akan datang.
Mereka peniaga kecil dan hanya bermodalkan duit tabungan atau keuntungan jualan harian.
Berilah mereka peluang berniaga sepanjang kempen kali ini, berkongsi rezeki dan memanfaatkan ‘durian runtuh di kampung sendiri’. Oleh itu jangan usik atau songlap duit untung peniaga kecil.