KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang atau Tian Chua yang bertanding sebagai calon bebas bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sedia menerima sebarang keputusan parti.
Katanya, pimpinan parti berhak menentukan keputusan berkenaan keahliannya di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut.
Beliau yang juga bekas Naib Presiden parti itu berkata, keputusan itu dibuat selepas berfikir panjang dan membuat keputusan bertanding sekaligus mengumumkan menjadi calon bebas di kawasan yang pernah disandangnya itu selama dua penggal sebelum ini.
“Saya berjanji kepada rakyat di Batu saya tidak akan lari atau tinggalkan mereka, jadi saya tawarkan diri untuk mereka buat pilihan.
“Apa yang utama sekarang, kepentingan parti politik perlu diketepikan dan sekarang pulangkan mandat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon dibuat di Dewan Sekolah Menengah Sentul Utama, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tian Chua turut menepis dakwaan bahawa tindakannya itu bakal memecahkan undi.
“Sama ada pecah undi atau tidak, biar keputusan PRU15 menentukan.
“Jika saya tidak tawarkan pilihan ini Parlimen Batu mungkin akan jatuh ke pihak lawan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE