TIDAK dinafikan sukan permotoran dua roda negara berada pada tahap terbaik terutama pelumba berbakat muda yang mula mempamerkan aksi positif di peringkat antarabangsa.
Pelumba cilik negara, Qabil Irfan Azlan, 10, kini antara jaguh dalam pembikinan apabila mencipta kejutan menamatkan saingan Super Final Kejuaraan Siri Dunia FIM MiniGP 2022 di podium ketiga keseluruhan.
Pada saingan di Litar Ricardo Tormo, Valencia, pelumba dari Kuala Terengganu itu berjaya menamatkan Perlumbaan 1 dan 2 di kedudukan kelima.
Podium tempat ketiga pada Perlumbaan Super Final yang menawarkan kutipan mata berganda, sekali gus meletakkan dirinya berada dalam kelompok keempat terbaik keseluruhan perlumbaan tersebut.
Qabil mengakui teruja dengan keputusan itu dan menganggap ia satu detik pengalaman yang tidak dapat dilupakannya. Saya bersyukur kerana akhirnya dapat mencatat kemenangan podium pada Super Final Race selepas dua kali mendapat tempat kelima di Perlumbaan 1 dan 2.
“Ini adalah pengalaman yang hebat dan saya harap akan mendapat peluang untuk kembali berlumba di sini pada musim depan. Terima kasih kepada semua yang menyokong saya khususnya kedua ibu bapa saya, ZK Racing dan semua yang mendoakan saya,” kata Qabil.
Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin nyata gembira dengan pencapaian dipamerkan Qabil dan percaya ia adalah satu era baharu buat sukan permotoran dua roda negara.
“Hari yang baik untuk kita semua pada Kejuaraan Siri Dunia FIM MiniGP. Qabil menduduki tempat kelima dalam Perlumbaan 1 dan 2 dan kedudukan ketiga pada Super Final, dia dapat podium,” kata Zulfahmi.