ARAU – Calon kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mewakili Perikatan Nasional (PN) tiba di pusat penamaan calon di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di sini kira-kira pukul 8.35 pagi ini.
Shahidan yang juga penyandang kerusi itu bersama lima calon DUN di bawah Parlimen tersebut bersama rombongannya kemudian melaungkan takbir dan hidup PN.
Beliau kemudian bertanyakan calon lawannya dari Pakatan Harapan (PH), Fathin Amelina Fazlie.
“Parti apa depan tu? Mana budak perempuan tu, saya nak berkenalan, ” katanya.
Fathin Amelina dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiba lebih awal bersama calon-calon DUN PH dan rombongannya kira-kira pukul 8.30 pagi.
Shahidan diumumkan sebagai calon PN menggunakan tiket Pas selepas tidak dicalonkan BN untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Sementara, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi itu, Datuk Rozabil Abd. Rahman bersama calon DUN serta rombongannya tiba kira-kira pukul 8.50 pagi. – KOSMO! ONLINE