fbpx

PRU15: Satu undi KJ di Sungai Buloh adalah untuk KJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin

PETALING – Calon Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin Abu Bakar meletakkan fokus utama beliau adalah mendapatkan semula kepercayaan pengundi di Sungai Buloh untuk yakin dengan kepimpinan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Khairy Jamaluddin yang juga merupakan antara tujuh calon bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh berkata, menjadi satu cabaran kepada dirinya sebagai pendatang baharu di Sungai Buloh dalam mendapatkan sokongan penduduk di sini.

“Saya datang ke kawasan dimana BN pernah kalah pada PRU14 lalu dan saya ke sini untuk kembalikan kepercayaan penduduk Sungai Buloh terhadap barisan kepimpinan BN,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon Parlimen Sungai Buloh di sini semalam.

Tambah Khairy Jamaluddin, beliau mengharapkan penduduk Sungai Buloh menerima kehadirannya serta memberi peluang untuknya menerangkan hala tuju yang ingin dibawa di kawasan tersebut.

“Saya tidak lihat apa-apa kelebihan pada diri saya bertanding di Parlimen Sungai Buloh tetapi apa yang saya nampak adalah cabaran besar untuk saya dapatkan kepercayaan penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Rembau itu menegaskan beliau kekal dengan pendirian untuk meletakkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri daripada parti tersebut.

“Saya akan mendukung Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri seperti mana yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Tiada bantahan dan tiada pertukaran,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan satu undi untuk beliau merupakan satu undi buat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri.

Jelasnya, setiap undi yang diterima beliau daripada pengundi Sungai Buloh merupakan undi buat dirinya sebagai calon yang bertanding di Parlimen berkenaan.

“Satu undi KJ di Sungai Buloh adalah satu undi untuk KJ dan calon Perdana Menteri bagi Barisan Nasional adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Naratif ini mesti dijelaskan sekarang juga kerana calon Perdana Menteri BN adalah Datuk Seri Ismail Sabri dan saya akan menyokong beliau sebagai calon Perdana Menteri,” katanya.

Terdahulu, Penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa yang hadir memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan, Datuk R. Ramanan mendakwa, memberi undi kepada Khairy calon BN itu adalah bersamaan dengan mengundi Ahmad Zahid untuk diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10

Sivarasa turut memaklumkan kemunculan Khairy Jamaluddin bertanding di Parlimen yang disandangnya selama tiga penggal itu tidak relevan sama sekali.

“Ia tidak relevan sama ada dia lelaki baik atau lelaki jahat. Siapa yang dia wakili. Apabila anda mengundi Khairy, anda sebenarnya mengundi Zahid,” katanya.

Sementara itu, Parlimen Sungai Buloh bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Khairy (BN), R. Ramanan (PH), Mohd. Ghazali Md Hamin (PN), Mohd Akmal Mohd Yusof (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan Nurhaslinda Basri serta Syed Abdul Razak Syed Long Alsagof masing-masing calon Bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI