BELURAN – Tindakan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menawarkan diri bertanding mempertahanan kerusi Parlimen Beluran atas tiket Perikatan Nasional (PN) menyebabkan pertembungan dengan calon Barisan Nasional (BN).
Ronald berkata, Bersatu masih parti komponen GRS di Sabah namun di peringkat nasional, Bersatu serta dua parti komponen GRS iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) serta Parti Progresif Sabah (SAPP) adalah komponen PN.
“Saya bertanding atas tiket PN, parti (gabungan) dianggotai beberapa buah parti peringkat nasional dan negeri.
“Oleh itu, PN ini adalah platform terbaik bagi mengangkat aspirasi Beluran di peringkat nasional,” katanya ketika di Pusat Penamaan Calon PRU15 Parlimen Beluran di Dewan Serbaguna Beluran hari ini.
Mengulas lanjut, Ronald menyatakan agenda besar yang perlu diangkat di kawasan Parlimen itu adalah pembangunan berterusan dan mengangkat masalah infrastruktur yang kekurangan dan jurang peruntukan luar bandar kepada Beluran.-KOSMO! ONLINE