fbpx

PRU15: Masa untuk raikan pesta demokrasi – Reezal Merican

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REEZAL Merican ketika di pusat penamaan calon di Kepala Batas, di sini hari ini.

SEBERANG PERAI – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menganggap saingan empat penjuru di kerusi Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini umpama satu pesta demokrasi.

Justeru, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas mengalu-alukan penyertaan daripada pelbagai parti politik yang berminat untuk bertanding di kerusi berkenaan.

“Kita raikan pesta demokrasi ini dengan sebaik mungkin, insya-Allah,” katanya yang juga penyandang kerusi tersebut sejak dua penggal lalu.

Beliau ditemui selepas selesai sesi pengumuman nama calon yang bertanding untuk kerusi Parlimen P041 Kepala Batas, hari ini.

Selain Reezal Merican, calon lain yang bertanding untuk kerusi berkenaan ialah Dr. Siti Mastura Muhammad, 33, iaitu calon Pas yang kini merupakan Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional (PN) negeri.

Turut bersaing ialah jurutera berusia 26 tahun dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) iaitu Muhammad Danial Abdul Majeed dan Presiden parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) negeri, Hamidi Abu Hassan dari parti Gerakan Tanah Air (GTA) yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Dalam pada itu, Siti Mastura berkata, peluang bertanding untuk kerusi Parlimen Kepala Batas buat kali kedua berturut-turut akan dimanfaatkannya dengan sebaik mungkin.

“Sebagai satu-satunya calon wanita PN di Pulau Pinang, semestinya saya berbangga kerana terpilih dan akan bekerja keras selepas ini,” katanya.

Bagi calon termuda, Muhammad Danial pula, usia bukan penghalang untuknya bertanding di kerusi yang disifatkan sebagai kubu kuat BN sejak 1978 itu.

“Kalau boleh, saya berhasrat untuk mengangkat lebih banyak suara anak muda di Parlimen jika terpilih sebagai wakil rakyat nanti.

Seorang lagi calon, Hamidi turut teruja untuk bertanding buat kali kedua selepas pertama kali berbuat demikian pada pilihan raya umum 2013 di kawasan Parlimen Padang Serai, Kedah.

“Misi saya adalah untuk menambahbaik mutu perkhidmatan dalam kerajaan selain memastikan tidak wujud penyalahgunakan kuasa,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI