KUALA SELANGOR – Kerusi Parlimen Tanjong Karang yang menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Selangor menyaksikan pertembungan lima penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Wanita UMNO Tanjong Karang, Datuk Habibah Mohd. Yusof dicabar Datuk Dr. Zulkapferi Hanafi dari Perikatan Nasional (PN) dan Siti Rahayu Baharin yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Kerusi itu turut ditandingi Azlan Sani Zawawi atau dikenali sebagai Lando dari Gerakan Tanah Air (GTA) dan pesara kerajaan yang bertanding sebagai calon Bebas, Mohd. Rosni Mastol.
Pengumuman rasmi senarai calon itu dilakukan Pengarah Pilihan Raya Bahagian Tanjong Karang, Mohd. Raiz Radzuan di Dewan Dato’ Hormat, Tanjong Karang di sini, hari ini.
Kerusi Parlimen itu menjadi tumpuan sebelum ini apabila Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar yang juga penyandang tidak terpilih sebagai calon dan mempertahankan kubu terakhir parti itu.
Statistik terbaharu SPR merekodkan seramai 62,194 pengundi akan menentukan wakil rakyat kerusi Parlimen itu. -KOSMO!ONLINE