MACHANG – Jentera Barisan Nasional (BN) Kelantan diingatkan supaya tidak melakukan serangan peribadi terhadap calon parti lain bagi meraih undi sepanjang berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, semua pihak perlu menghormati konsep dan sistem demokrasi dalam negara dengan kepelbagaian pendapat supaya kempen-kempen dapat dilaksanakan mengikut lunas-lunas undang-undang yang telah ditetapkan.
Menurutnya, paling penting adalah memberi penerangan terbaik dengan meyakinkan rakyat supaya BN dapat menjadi pilihan pertama pada hari pengundian nanti.
“Kita semua ada kelemahan dan kelebihan. Jadi, jangan menyerang peribadi masing-masing dan tidak boleh memandang rendah mana-mana pihak kerana mereka juga mempunyai peluang dan rakyat akan menentukan.
“Kita perlu bercakap soal dasar parti, kemampuan parti yang kita wakili kali ini untuk membawa suara rakyat dan memberi kepentingan kepada merek,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai proses penamaan calon di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Machang di sini hari ini.
Ahmad Jazlan yang juga calon BN Parlimen Machang memberitahu, setakat ini, lebih 40 projek yang membabitkan kepentingan rakyat secara menyeluruh dilaksanakan sepanjang tempoh dua penggal beliau di Parlimen Machang. – KOSMO! ONLINE