BAGAN DATUK – Parlimen Bagan Datuk menyaksikan pertembungan empat penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), paling ramai dalam sejarah pilihan raya di kawasan tersebut sejak 1986.
Penyandang kerusi parlimen itu selama lima penggal, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, 69, dicabar oleh Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin, 47, dari Pakatan Harapan (PH) dan Dr. Muhammad Faiz Na’aman dari Perikatan Nasional (PN), 39.
Turut bertanding ialah bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail, 71, yang bertanding sebagai calon bebas dengan menggunakan simbol kunci.
Shamsul Iskandar adalah bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya manakala Dr. Muhammad Faiz adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan Tawfik pula adalah anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang meninggal dunia pada Ogos 1973.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Muhamad Ghopran Yeop Hamzah, membuat pengumuman itu pada pukul 11 pagi di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk di sini.- KOSMO! ONLINE