fbpx

‘PRU15 adalah pilihan raya terakhir saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. MAHATHIR bersama Armishah (kiri) dan tiga calon lain bergambar selepas pengumuman penamaan calon bagi Parlimen Langkawi di Langkawi semalam.

LANGKAWI – Penyandang Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin beliau mempu­nyai peluang untuk sekali lagi memegang kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Perdana Menteri dua kali itu dicabar empat calon iaitu Datuk Armishah Siraj dari Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah (Perikatan Nasional), Zabidi Yahya (Pakatan Harapan) dan Datuk Abd. Kadir Sainudin (Bebas).

“Saya mempunyai peluang yang cerah untuk menang, saya tidak tahu kualiti calon lain, tetapi setakat yang saya lihat, saya datang dengan sokongan yang baik dan kita mempunyai sema­ngat yang baik.

“Kami juga hanya akan menamakan calon Perdana Menteri sekiranya mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan,” katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di sini semalam.

Beliau berkata, PRU15 ini adalah PRU terakhir baginya dan bercadang untuk menyelesaikan masalah tempatan seperti isu feri dan sampah yang tidak sempat dilakukannya sebelum terpaksa melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu, Mohd. Suhaimi menganggap PRU15 seperti persaingan dua penjuru sahaja melibatkan PN dan BN.

Menurutnya, antara faktor yang membawa kepada situa­si itu adalah usia, parti dan individu yang dicalonkan.

“Tun adalah legenda, dia yang telah membina negara dan kita juga menyokong Tun pada masa itu tetapi sekarang saya dapat melihat ada orang yang menyokong Tun, ada yang tidak menyokong Tun. Saya rasa Tun tidak akan mendapat undi sebanyak pilihan raya lalu.

“Kalau faktor parti, saya melihat PH tidak mempunyai kekuatan dari segi kumpulan pada pagi ini,” ujarnya.

Mohd. Suhaimi turut menyebut rakyat Langkawi atau sesiapa sahaja yang berfikiran, jelas akan meminta bekas Perdana Menteri itu untuk berehat daripada terus berpolitik.

Sementara itu, Armishah yang berjaya meraih sokongan daripada jentera BN di sini mengucapkan terima kasih kepada Datuk Nawawi Ahmad selaku Ketua UMNO Bahagian Langkawi atas kesudiannya untuk meneri­ma dirinya sebagai calon untuk bertanding di kawasan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI